Memorandum Bersama: Menuntut Siasatan Di Dawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan Bagi Kematian Soosaimanicckam a/l Joseph
Soosaimanicckam a/l Joseph, telah meninggal dunia pada 19.5.2018 Hospital Angkatan Tentera Lumut sewaktu menjalani Latihan Pegawai Kadet Graduan Angkatan Tentera Laut Diraja Malaysia (“Latihan PKG TLDM”) di Kd Sultan Idris 1, Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia, Lumut Perak.
Mendiang, yang hanya berumur 27 tahun sewaktu kematiannya, telah meninggal dunia hanya selepas seminggu menjalani Latihan PKG TLDM tersebut. Pemeriksaan kesihatan yang diambil oleh mendiang sebagai pra-syarat kepada Latihan PKG TLDM tersebut telah melaporkan bahawa mendiang tidak mempunyai apa-apa penyakit dan disahkan sihat.
Pada 29.7.2024 Mahkamah Tinggi Ipoh di dalam Rayuan Jenayah No.: AA-42(ORS)-5-07/2023 telah memutuskan bahawa kematian mendiang adalah disebabkan homisid (homicide) iaitu beliau telah dibunuh. Mahkamah juga memutuskan bahawa pembunuhan ini adalah akibat tindakan langsung pegawai-pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia.
Lanjutan itu, pihak keluarga mendiang Soosaimanicckam telah pun membuat laporan polis di IPD Petaling Jaya pada 1.8.2024 (No. Repot: Pusat/005687/23) menuntut suatu siasatan pembunuhan di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan dijalankan susulan dari keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh tersebut.
Sehingga kini, pihak keluarga mendiang tidak dihubungi oleh pihak polis dan tidak dimaklumkan sama ada siasatan sedang dijalankan atas kematian mendiang Soosamanicckam selaras dengan laporan tersebut dan keputusan oleh Mahkamah Tinggi Ipoh tersebut.
Oleh yang demikian, kami dari badan-badan yang disenaraikan di bawah menuntut seperti berikut:
- Suatu siasatan di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan dibuka dan dikendalikan oleh pasukan dari Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia di Bukit Aman.
- Suatu pasukan siasatan yang bebas dilantik untuk menjalankan siasatan tersebut.
- Bahawa siasatan yang dijalankan harus memberi pertimbangan sewajarnya kepada keputusan homisid yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi Ipoh.
- Perkembangan siasatan dikomunikasikan kepada pihak keluarga untuk memastikan ketelusan siasatan.
- IPD Manjung memberi penjelasan berkenaan kegagalan untuk membuat siasatan yang telus dan menyeluruh bagi kematian Soosamainicckam pada tahun 2018.