Pemuda DPCKLS kecam tindakan UM terhadap graduan

Pemuda Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur dan Selangor (DPCKLS) mengecam tindakan Universiti Malaya (UM) yang membuat laporan polis terhadap graduan Ijazah Wong Yan Ke dan menyekat Edan Kon Hua En daripada majlis konvokesyen.

 

Kami berpendapat setiap rakyat Malaysia mempunyai kebebasan bersuara seperti yang termaktub di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan termasuk Perkara 19 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat. Graduan Wong Yan Ke mengangkat plakad melakukan protes dengan melaungkan slogan menolak kepimpinan naib canselor universitinya Datuk Ir. Abdul Rahim Hashim sejurus selepas menerima skrol ijazah hanya melaksanakan hak kebebasan bersuaranya dan tindakan itu langsung tidak mengganggu istiadat konvokesyen.

 

Tindakan saudara Wong Yan Ke adalah untuk tunjuk protes kepada penglibatan Naib Canselor UM dalam Kongres Maruah Melayu di Shah Alam pada dua minggu yang lalu. Ucapan Naib Canselor dalam Kongres Maruah Melayu yang mengatakan bahawa peralihan kuasa yang berlaku semasa 9 Mei 2018 telah menghilangkan dominasi politik Melayu manakala hak istimewa orang Melayu telah dipersoalkan, tujuan kongres itu diadakan adalah untuk memberi peringatan bahawa jangan mencabar kontrak social.

 

Kami berpendapat kenyataan yang dilontarkan oleh Naib Canselor ini berbaur perkauman dan tidak bertanggungjawab. Tindakan ini barulah mencemarkan nama baik Universiti Malaya sebagai sebuah institusi pengajian tinggi, juaga para graduan dan seluruh warga UM.

 

Sebagai sebuah universiti yang diiktiraf dunia selaku antara yang terbaik, kelakuan Naib Canselor dan pihak UM yang membuat laporan polis terhadap Wong Yan Ke merupakan satu langkah silap kerana ia menunjukkan sekatan ke atas kebebasan bersuara dan berfikiran sempit.

 

Kami menyeru agar pihak UM  membatalkan laporan polis dan naib canselor UM harus memberi penjelasan terhadap kenyataan yang rasis di Kongres Maruah Melayu.