KENYATAAN BERSAMA: SAIFUDDIN NASUTION HARUS DIPECAT SEGERA, BUKA SIASATAN TERHADAP KEMATIAN TEOH BENG HOCK DIBAWAH KANUN KESEKSAAN S.302
Pertubuhan masyarakat sivil (Civil Society Organisation – CSO) yang disenarai di bawah mengecam sekeras-kerasnya kenyataan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail bahawa kekerasan polis sewaktu perarakan sempena Ulang Tahun ke-15 Teoh Beng Hock adalah untuk menjaga ketenteraman awam. Kami menuntut agar Saifuddin Nasution dipecat sebagai Menteri Dalam Negeri memandangkan beliau tidak layak menyandang jawatan tersebut atas tiga kegagalan utama.
Pertama, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution gagal mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membuka semula siasatan terhadap pegawai-pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terlibat dalam kes kematian Teoh Beng Hock dibawah Kanun Keseksaan seksyen 302.
Mahkamah Rayuan pada tahun 2014 telah memutuskan bahawa kematian Teoh Beng Hock adalah diakibatkan oleh ‘seorang atau beberapa orang yang tidak dikenali termasuk pegawai SPRM’, dan telah mengesyorkan pihak polis untuk membuka semula siasatan.
Selama 15 tahun sejak kematian Teoh Beng Hock, Pakatan Rakyat atau Pakatan Harapan berkali-kali berjanji kepada ahli keluarga Teoh Beng Hock bahawa mereka tidak akan teragak-agak untuk menyiasat dan menuduh pihak bertanggungjawab di mahkamah sekiranya mereka diberikan mandat oleh rakyat untuk menjadi kerajaan.
Namun, Menteri Dalam Negeri bersikap sambil lewa dalam perkara ini dan tidak pernah membalas kepada tuntutan keluarga Teoh. Persatuan Teoh Beng Hock Demi Kemajuan Demokrasi (TBH-ADA) terpaksa berjalan melebihi 45km dari Plaza Masalam (tempat kejadian kematian Teoh Beng Hock) ke Parlimen Malaysia untuk menyerahkan memorandum supaya suara keluarga Teoh dapat didengari oleh mereka yang kini berkuasa.
Keluarga Teoh tidak memerlukan belas kasihan daripada Menteri tetapi satu tindakan tegas dan cekap dalam siasatan PDRM dalam kes kematian Teoh Beng Hock. Perbualan atau permohonan maaf secara persendirian sememangnya tidak bermakna kepada keluarga Teoh selepas 15 tahun dan terutamanya PH kini telah memegang kuasa eksekutif.
Kedua, Saifuddin Nasution gagal menyemak semula Prosedur Operasi Standard (SOP) PDRM untuk menangani perarakan dan himpunan aman sehingga menyebabkan kekerasan polis berlaku dan mencederakan peserta-peserta. Antara kekerasan polis adalah menolak peserta ke tepi, mengheret baju peserta, menarik rantai leher peserta sehingga dia susah bernafas dan rantai terputus, dan menjatuhkan peserta ke atas lantai secara sengaja.
Kami mengingatkan penyerahan memorandum di luar pagar Parlimen bukan satu perkara baharu padahal keluarga Teoh pernah menyerahkan memorandum kepada Ahli-ahli Parlimen di luar pagar Bangunan Parlimen sewaktu pemerintahan kerajaan Najib Razak.
Kami juga mengingatkan pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan pernah menjadi mangsa kepada sekatan polis ke Parlimen dan kekerasan polis. Jangan kita lupa, polis pernah menyekat pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan memasuki Dewan Rakyat pada 2 Ogos 2021.[1] Pada masa itu, pemimpin Pakatan Harapan turut mengkritik tindakan polis yang menyekat suara Rakyat ke Parlimen. Jangan kita lupa, pemimpin-pemimpin Pakatan termasuk Anwar Ibrahim pernah menjadi mangsa kekerasan polis waktu Himpunan Bersih 2.0 dan tindakan polis juga dikecam sekeras-kerasnya dan bukan dipertahankan sebagai langkah menjaga ketenteraman awam.
Tidak kira penyerahan memorandum di luar pagar Parlimen atau Himpunan BERSIH 2.0 adalah suatu amalan demokratik yang patut diraikan malah hak berhimpun secara aman di bawah Perlembagaan Persekutuan patut dihormati dan bukan dizalimi. Kerajaan Madani terutamanya yang diketuai reformis-reformis patut lebih progresif untuk memudahkan perarakan atau himpunan aman dan bukan sebaliknya.
Ketiga, Menteri Dalam Negeri gagal mempertahankan hak asasi manusia di Malaysia. Saifuddin Nasution telah berkali-kali menunjukan ketidakcekapan beliau dalam banyak perkara berkaitan dengan hak asasi manusia, termasuk isu salah laku dan kekerasan polis, isu kematian dalam tahanan, isu penindasan masyarakat Bajau Laut, isu tahanan tanpa bicara, isu kewarganegaraan, isu penggunaan Akta Hasutan dan intimidasi terhadap aktivis-aktivis, dan lain-lain lagi.
Pendirian dan respon Saifuddin Nasution terhadap isu-isu ini hanya mengekalkan status quo dan tidak mengambil peduli saranan-saranan daripada pihak masyarakat sivil mahupun masyarakat yang terkesan. Beliau hanya menunjukkan keangkuhan seseorang pemerintah, dan melaksanakan sesuatu mengikut kehendak hati dan kepentingan politik diri sendiri sahaja. Ia bercanggah kepada nilai Malaysia Madani yang sepatutnya bersikap keterbukaan dan mengutamakan kepentingan rakyat jelata.
Menteri Dalam Negeri mempunyai kuasa yang sangat besar dan mengetuai badan-badan penguatkuasaan. Kami tegaskan bahawa Rakyat Malaysia memerlukan seorang Menteri Dalam Negeri yang dapat menghormati hak asasi manusia dan menegakkan keadilan, dan bukannya seorang penindas yang mengancam keselamatan rakyat jelata. Atas sebab-sebab ini, Saifuddin Nasution harus dipecat segera sebagai Menteri Dalam Negeri.
Kenyataan disokong oleh:
- KLSCAH Youth
- University of Malaya Association of New Youth (UMANY)
- Liga Demokratik Rakyat
- EMPOWER
- Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM)
- Gerakan Belia Se-Punjabi Malaysia – GBSM
- Student Progressive Front UUM 北大前进阵线
- Suara Siswa UUM 北大学声阵线
- Gerakan Mahasiswa Maju UPM
- KLSCAH Civil Rights Committee
- Borneo Komrad
- Hayat
- Eliminating Deaths and Abuse in Custody Together (EDICT)
- Aliran
- MANDIRI – Pusat Pembangunan Rakyat
- Congress IIUM
- Malaysians Against Death Penalty and Torture (MADPET)
- Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (GERAK)
- Suara Rakyat Malaysia (SUARAM)
- Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia (HARAM)
- Suara Mahasiswa UMS
- Mahasiswa Demokratik Malaysia (MDM)
- Demokrat UKM
- Rahman Student League
- Rahman Solidarity League
- Stateless.MY
[1] Pembangkang yang diketuai oleh Pakatan Harapan menuntut Muhyiddin meletak jawatan sebagai Perdana Menteri yang didakwa melanggar Perlembagaan Persekutuan dan menghina instusi raja Perlembagaan termasuk menteri di Jabatan Perdana Menteri mengelirukan Dewan.
19hb Julai 2024
Kenyataan Bersama: Saifuddin Nasution Harus Dipecat Segera