Pemuda DPCKLS kecam tindakan polis tahan pelajar AATC

Pemuda Dewan Perhimpunan China KL dan Selangor(DPCKLS) rasa kesal dan mengecam sekeras-kerasnya tindakan pihak polis yang menahan pelajar dari pusat latihan penerbangan Allied Aeronautics Training Centre (AATC) yang berprotes untuk menyuarakan bantahan mereka terhadap pihak pengurusan AATC kerana membuang Pengerusi dan Setiausaha Kesatuan Pelajar tanpa sebarang notis dan proses rundingan.

 

Tindakan Pengurusan AATC yang membuang Pengerusi dan Setiausaha Kesatuan Pelajar adalah tidak rasional dan tidak sewajarnya. Pelajar sebagai golongan penting dan terbesar dalam kolej, mereka berhak untuk bersuara dan menubuhkan kesatuan untuk kepentingan mereka. Hak ini terpelihara di bawah Perlembagaan, Perkara 10- Kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan.

 

Di persidangan Parlimen pada Julai yang lalu, Dewan Rakyat baru meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun. Pihak kolej dan universiti seharusnya menghormati dan menggalakkan pelajar berfikir kritis dan bebas, memupuk semangat berani untuk menyuarakan pendapat.

 

Kami menyeru pihak pengurusan AATC supaya menarik balik keputusan untuk membuang dua orang pelajar tersebut dan dengar kepada suara pelajar, serta berunding dengan wakil pelajar mengenai tuntutan mereka.

 

Tindakan polis yang menahan pelajar dan aktivis adalah tidak munasabah dan salah guna kuasa, Penahanan polis telah mencabul demokrasi kampus dan hak pelajar. Kami menggesa pihak polis hormat kebebasan himpunan dan bersuara, dan berhenti penahanan terhadap rakyat yang berhimpun secara aman.